Wednesday, April 14, 2010

Dakwah & Tuntutannya (1)

PENGERTIAN DAKWAH

Dakwah secara lughah yang berasal dari Bahasa Arab, yang bermaksud seruan, panggilan, undangan. Secara istilah, kata dakwah beerti menyeru atau mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menuruti petunjuk, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah swt dan Rasulnya saw.

Syeikh Ali Mahfuz – murid Syeikh Muhammad Abduh memberi batasan dakwah sebagai:-

“membangkitkan kesedaran manusia di atas kebaikan dan bimbingan, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar, supaya mereka beroleh keberuntungan kebahagiaan di dunia dan akhirat”

Dakwah adalah merupakan sunnah para Nabi a.s. .Mereka menyeru manusia kepada subul-as-Salam (jalan kebahagiaan), menunjukkan manusia kepada jalan yang lurus (sirat-al-Mustaqim), sehingga manusia menerima seruan Allah dan Rasul-Nya. Dakwah Islamiyah berawal dari hati yang sedar bahwa inilah jalan kita, yaitu untuk menyeru manusia kepada Allah sehingga mereka mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW.

Yang menjadi pemisah antara dakwah Islamiyah dengan jalan lain adalah petunjuk Allah yang disampaikan melalui wahyu dan jalan (contoh) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Musuh kita yang sebenarnya adalah syaitan dan konco-konconya yang menjelma melalui al-hawa’ (hawa nafsu) yang ada di dalam diri kita serta yang lebih nyata lagi adalah dalam bentuk jahiliyah yang zahir. Jahiliyah yang sekecil-kecilnya dari dosa-dosa yang berupa keingkaran hingga kepada al-kabair (dosa-dosa besar), bid’ah-bid’ah yang menyesatkan, nifaq (kemunafikan), serta kekufuran kepada Allah. Jahiliyah inilah yang seterusnya lahir dan menjelma di dalam bentuk keingkaran kepada Allah baik di dalam bentuk undang-undang, negara, masyarakat, dan segala bentuk sistem yang bukan berasaskan Islam.

Dakwah bukanlah semata-mata penentangan terhadap satu golongan, atau parti, ataupun individu,dan sebagainya. Namun merupakan pertarungan yang telah lama ada, yaitu semenjak penciptaan Adam a.s. dan keengganan Iblis untuk mematuhi perintah Allah agar sujud kepada Adam. Pertarungan di dalam dakwah adalah pertarungan antara yang haq dengan yang batil. Inilah pertarungan para Anbiya a.s. semenjak nabi Adam hingga Rasulullah saw. Inilah dia hakikat dakwah yang perlu kita dukung.

HUKUM BERDAKWAH
Hukum berdakwah adalah wajib dan kewajipan ini tertaklif pada setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah swt yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam.

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah.

Firman Allah swt:-

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah swt, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri” (Al Fushilat : 33)

Menyerukan manusia kepada Allah swt menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah saw:

“Jika Allah swt memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari” (H.R. At Tabrani)

Begitu juga sabda Nabi saw yang bermaksud:

“Orang yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berkeliling di muka bumi dengan menasihati orang lain” (H.R. At Thahawi)

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’rif (memperkenalkan) yang mendahului marhalah takwin (pembentukan) dan marhalah tanfiz (pelaksanaan).

TUJUAN DAKWAH
1. Mengubah pandangan hidup. Di dalam surah Al Anfal ada menyebutkan tentang tujuan dakwah adalah menyedarkan manusia tentang kehidupan yang sebenarnya. Hidup bukanlah makan, minum dan tidur sahaja.
2. Mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya. Ini diterangkan oleh Allah swt dalam Surah Ibrahim dalam ayat ke-1.
3. Mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar. Banyak ayat-ayat Qur’an yang boleh digali menerangkan tentang program amar ma’ruf dan nahi mungkar ini.

MAUDHU’ DAKWAH
Secara umumnya, amudhu’ dakwah ialah ajaran Islam kerana ia merupakan risalah yang dibawa oleh para rasul dan satu-satunya agama yang diredhai Allah. Di antara kandungan dakwah yang perlu diketengahkan kepada masyarakat umum adalah:-

Asas-asas ajaran Islam yang mencakupi persoalan Iman, Islam dan Ihsan.
a) Persoalan iman (aqidah) hendaklah diperjelaskan dalam lingkungan al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih dengan mudah dan jauh daripada penghuraian ahli kalam yang memeningkan kepala. Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun iman.

b) Persoalan Islam (fiqh) pula hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada perselisihan mazhab dengan menjelaskan dalil dan hikmah pensyariatan serta mengaitkannya dengan kehidupan. Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun Islam.

c) Persoalan Ihsan (akhlak) juga hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada pelampauan ahli tasawwuf dan penguraian yang tidak memberi manfaat oleh ahli falsafah. Di antara jenis-jenis ihsan yang perlu dihuraikan ialah:

- Ihsan dengan pengertina muraqabatullah

- Ihsan dengan pergertian berbakti kerana Allah.

- Ihsan kepada umat Islam dengn cara memperkukuhkan hubungan ukhwah fillah.

- Ihsan kepada semua makhluk dengan maksud bermuamalah dengan baik bersama mereka.

keperluan hidup seorang pejuang (1)

"jika iman dan keyakinannya tidak kokoh, seorang hamba akan dikepung syubhat dari seluruh arah, dan dikelilingi sifat ragu dari semua penjuru. Semua ini akibat lemah ilmu dan ketidaktajaman mata hatinya..."-hukama.

Saya mulakan perkongsian pada kali ini dengan satu hikmah yang cukup bernilai, apatah lagi kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang memikul pena dan buku dalam meneruskan hidup sebagai pencari ilmu- ilmu dunia dan akhirat, insya Allah. Bahkan, ini juga merupakan teguran buat diri yang masih lagi jahil dalam erti kata memenuhi tanggungjawab seorang pelajar jurusan agama. Doa dari sahabat amat saya harapkan untuk terus istiqamah dalam sabar dalam menempuh mehnah perjuangan hidup ini.

Pernah saya kongsikan dalam pertemuan dengan para duat yang berwibawa pada satu program anjuran Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) di bawah unit Dakwah dan Khidmat masyarakat berkenaan dengan keperluan seorang pendakwah masa kini. Pertemuan yang dirancang satu jam sahaja berlanjutan hampir dua jam.

Saya mengingatkan, keperluan seorang pendakwah itu bukan sekadar bersemangat (hamasah) semata. Hamasah itu pada hemat saya banyak dibentuk oleh faktor sekitar (biah). Biah yang baik mampu untuk mempengaruhi jiwa yang lemah untuk bersemangat dalam melakukan apa jua perkara, dan dalam konteks ini seorang pendakwah itu bisa menjadi bersemangat jika biah yang baik itu membentuknya. Realitinya, jika kita lihat di alam persekolahan dahulu, dengan arahan yang tegas dari pihak guru, dan juga dorongan rakan-rakan dan sebagainya, kita mampu untuk istiqamah dengan solat berjemaah, mampu membaca al-ma'tsurat pagi dan petang bahkan qiamullail hujung minggu menjadi rutin.

Namun, jika biah solehah itu sudah hilang, maka dibawa pergi bersamanya sifat hamasah itu tadi. Maka segala amalan yang baik itu tadi mula pudar dalam diri. Ibadatnya berkurang, akhlaknya merudum, jiwanya kontang tanpa zikir dan aurad. astaghfirullah....

Situasi yang berlaku sekarang, tiap-tiap daie itu perlu dan pasti turun ke medan dakwah yang penuh dengan cabaran dan mehnah, yang akan menguji kesabaran, keikhlasan, dan kesungguhan mereka. Maka mereka buntuh lebih dari sekadar semangat. Mereka buntuhkan sesuatu yang mampu membangkitkan jiwa-jiwa yang lemah itu. Mereka buntuhkan ILMU!!!

Keperluan Pertama- Ilmu yang membuahkan Amal.

Dalam beberapa siri pertemuan dengan beberapa ustaz, saya mendapat satu sentuhan berharga, dan boleh saya kongsikan bersama-mana tahu, mungkin ada manfaat padanya.

Keperluan utama yang perlu ada pada diri seorang aktivis dakwah itu ialah ilmu. Penguasaan ilmu yang betul akan melahirkan amat yang soleh dan baik.

Umum mengetahui, salah satu perkara yang diketahui umat islam secara mutawatir adalah wahyu pertama Allah yang turun ke hati Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam(s.a.w) berupa ayat-ayat pertama surah al-'alaq, disampaikan malaikat Jibril alayhi salam pada pertemuan pertama mereka di Gua Hira. Ayat-ayat ini adalah firman Allah taala, maksudnya:

"Bacalah dengan (menyebut ) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya" (al-alaq, 1-5)

Turunnya ayat-ayat ini pada awal kerasulan mengandungi tujuan tersendiri- untuk menunjukkan keutamaan dan keharusan memprioritaskan ilmu. Dengan ilmu semua hal dimulai, dan dengan ilmu semua amal dibuka. Perintah membaca diulang sebanyak dua kali, maka kita dapat fahami membaca itu kunci kepada ilmu.

Sesudah itu turun ayat-ayat berikut:


"Hai orang yang berselimut, bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah. Dan pakaianmu bersihkanlah. Dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah. Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah"
-mafhum firman Allah, Al-muddattsir, (74:1-7)

Ayat-ayat al-muddatsir menyuruh beramal; amal yang terkait dengan manusia,-bangunlah, lalu berilah peringatan!, amal yang terkait dengan Allah- Dan Tuhanmu agungkanlah, dan amal yan berkait dengan diri sendiri- dan pakaianmu bersihkanlah.

terdapat ayat yang menyuruh beramal dengannya, ada juga ayat yang terkait dengan meninggalkan- dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah,
Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Lalu semua ayat itu dibingkai dengan sabar kerana Allah Taala- Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah..

Dapat kita fahami, bahawa ilmu lebih dahulu mendahului dari amal. Kerana ilmu yang meluruskan amal serta mengajarkan syarat dan rukunnya. Hukama juga mengatakan "ilmu tanp amal itu gila, dan amal tanpa ilmu itu buta"..

Bahkan, perlu juga kita fahami dari ilmu itu akan membuahkan amal. Fudhail bin 'Iyadh dalam menafsirkan ayat al-mulk, "amal yang paling baik', maka beliau mengatakan amal yang paling baik ialah amal yang ikhlas dan benar. Adapun amal ikhlas tapi tidak benar tidak diterima, dan amal yang benar tapi tidak ikhlas juga tidak diterima. Beliau mengatakan:

"amal yang ikhlas itu amal kerana Allah, dan amal yang benar amal yang sesuai dengan as-sunnnah".

Maka, seseorang yang ingin beramal perlu kepada kedua syarat ini, dan yang mampu menghimpunkan dia syarat ini lantas dengan ILMU. Ya, persis sekali!


Jika sese
orang tidak mengetahui apa yang dibawa Rasulullah, tentu dia tidak mampu melaksanakan amal yang benar. dan jika seseorang tidak mengetahui Tuhannya, mana mungkin dapat mengikhlaskan amalnya kerana Allah, Tuhannya. Justeru, ilmu adalah penuntun keikhlasan dan penuntun mengikuti sunnah dan manhaj baginda s.a.w.

SubhanaLlah...

Saya menasihati diri dan juga sahabat supaya terus menyibukkan diri mencari ilmu. bertebarkan di muka bumi menggali telaga ilmu lalu mencedoknya untuk terus hidup dalam lingkungan rahmat dan inayah dariNya. Bagi mereka yang ingin menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemaksiatam-yakni berdakwah, juga memerlukan ilmu dalam amalnya itu. Jangan hanya beralaskan emosi dan akal dalam menjalankan kerja islam, sehinggakan dalil pun tidak pernah dituntunnya dari al-quran mahupun dari sunnah Ar-rasul. Bangkitkan kesedaran mereka dengan kefahaman islam yang ampuh, supaya amal yang kita lakukan ikhlas dan benar di sisiNya...

Mustahil kita dapat berjalan dalam gelap tanpa pelita ditangan tidak menyala....

-Artikel ini diambil dari blog saudara Muhammad Farid Hadhari, Exco Dakwah dan Khidmat Masyarakat, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM). Beliau boleh diikuti di blog "denyut nadi perjuangan".

Saturday, April 10, 2010

Akhlak dan Adab Seorang Pendakwah.

MUQADDIMAH

Akhlak dan adab yang baik adalah perkara asas yang perlu diketahui serta diamalkan oleh setiap pendakwah; bahkan akhlak diletakkan sebagai salah satu uslub dakwah yang berkesan. Akhlak inilah yang dipertontonkan oleh Rasulullah saw sebagai batu asas kepada kegiatan dakwah sehinggalah akhlak baginda dikagumi oleh musuh-musuhnya. Bagi meletakkan perjuangan ini diterima dan direstui oleh Allah swt serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas.
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan.

Abu Musa al Asy’ari menceritakan :

Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah saw, dia berkata : Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahukan disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?

Sabda Rasulullah: sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.

Ini bermaksud perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan semasa, dan tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.
Firman Allah swt:

Maksudnya: “Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan dengan mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus”

(Al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata, maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Antara tanda-tanda ikhlas dalam diri seorang pejuang Islam adalah:
– Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah. Tidak meletakkan sasaran untuk menjadi mulia di sisi manusia atau sebagainya yang boleh merosakkan niat.
– Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan. Sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negatif yang menzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan. Contohilah Khalid al Walid di dalam menjalankan tugas (kisah Khalid al-Walid yang menerima surat perletakan jawatannya oleh Khalifah Umar al Khattab)
– Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran.
– Tidak bermain alasan untuk mengelakkan diri dari aktiviti dakwah.
– Bertolak ansur dalam mengendali gerak kerja sesama para pendakwah.
– Menghormati para pendakwah terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan, kelamahan kerana sekurang-kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan ini.
– Sentiasa mengadakan muhasabah terhadap apa jua tindakan. Merasakan diri adalah lemah dan kerdil dan serba kekurangan justeru cuba untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

2. Istiqomah
Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan.

Apabila Abu Suffian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw: “katakanlah kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain darimu. Sabda Rasulullah saw:” katakanlah aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqomahlah”.

Dalam Hadis Nabi yang lain:
Maksudnya: “Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyengutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan”

3. Percaya dengan pertolongan dan janji dari Allah.
Seseorang yang menceburkan dirinya dengan perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjinya di dunia dan akhirat, ini hendaklah dengan adanya sifat taqwa, mengerjakan perintah dan menjauhi laranganNya, serta tidak mundur walau sedikitpun dalam arus medan perjuangan.

Dalam sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan orang-orang yang bersama-sama dengan baginda melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada satupun wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar menandakan kemenangan Islam, namun siapa menyangka bahawa akhirnya Rasulullah saw berjaya juga membuka kota Makkah dengan jayanya begitu juga nur Islam berjaya melepasi tembok sempadan geografi dan menembusi kota-kota Rom dan Parsi, sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka sebelumnya.

4. Ukhwah (persaudaraan)

Para pendakwah di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah saw menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar.

Antara kegiatan yang dpat menjalinkan hubungan persaudaraan adalah dengan adanya usrah yang dapat mengeratkan persaudaraan kerana perkataan usrah sendiri membawa maksud keluarga yang tujuan utamanya adalah untuk menyelesaikan masalah secara kekeluargaan. Selain itu program-program secara amal ijtimaie seperti gotong royong, kerja-kerja kebajikan, perhimpunan (liqo’ Fiqri) semuanya adalah program berbentuk ukhwah yang dapat memandu ikatan ukhwah yang lebih erat.

5. Tidak leka dengan pencapaian yang ada.
Dalam menghadapi tentangan dari musuh-musuh Islam, kadangkala para pendakwah mampu untuk berada dalam situasi yang menyenangkan dan merasai sedikit kejayaan . Namun kesemua itu tidak dapat kita banggakan kerana kadangkala pencapaian itu bersifat sementara. Lihatlah sirah bagaimana dalam peperangan Uhud pada mulanya Islam berjaya mencapai kemenangan awal, namun atas kealpaan dan kelekaan akhirnya tentera Islam dikalahkan oleh puak-puak musuh.

Kejayaan dan kemenangan yang diukir haruslah diiringi dengan kesyukuran dan sentiasa bermuahasabah adakah kemenangan ini kemenangan yang hak ataupun pencapaian ini sekadar istidraj (kemurkaan) Allah.

6. Menunaikan janji dan beriltizam dengannya.
Dalam hal ini Allah swt mengingatkan kita dalam FirmanNya:

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji, dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan”

(An Nahl: 91)

Akhlak yang baik dikalangan para pendakwah adalah sentiasa menunaikan janji samaada kepada kawan ataupun kepada musuh-musuh. Tidak menunaikan janji akan mengakibatkan hilangnya thiqah (kepercayaan) orang lain kepada diri kita.

7. Tidak melampau.
Allah swt melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah silmiyyah.

Sikap melampau akan mengurangkan kawan, meramaikan musuh, melambatkan kemenangan, serta mengurangkan keindahan Islam yang cuba dibawa. Sabda Nabi saw:

“Permudahkan (segala urusan), jangan dipersulitkan, ajaklah dengan baik dan janganlah menyebabkan orang menjauh”.

(H.R. Bukhari)

Sikap melampau seringkali berlaku kadangkala dalam urusan yang remeh (furu’) dan inilah yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan gerakan Islam.