Saturday, April 10, 2010

Akhlak dan Adab Seorang Pendakwah.

MUQADDIMAH

Akhlak dan adab yang baik adalah perkara asas yang perlu diketahui serta diamalkan oleh setiap pendakwah; bahkan akhlak diletakkan sebagai salah satu uslub dakwah yang berkesan. Akhlak inilah yang dipertontonkan oleh Rasulullah saw sebagai batu asas kepada kegiatan dakwah sehinggalah akhlak baginda dikagumi oleh musuh-musuhnya. Bagi meletakkan perjuangan ini diterima dan direstui oleh Allah swt serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas.
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan.

Abu Musa al Asy’ari menceritakan :

Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah saw, dia berkata : Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahukan disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?

Sabda Rasulullah: sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.

Ini bermaksud perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan semasa, dan tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.
Firman Allah swt:

Maksudnya: “Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan dengan mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus”

(Al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata, maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Antara tanda-tanda ikhlas dalam diri seorang pejuang Islam adalah:
– Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah. Tidak meletakkan sasaran untuk menjadi mulia di sisi manusia atau sebagainya yang boleh merosakkan niat.
– Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan. Sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negatif yang menzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan. Contohilah Khalid al Walid di dalam menjalankan tugas (kisah Khalid al-Walid yang menerima surat perletakan jawatannya oleh Khalifah Umar al Khattab)
– Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran.
– Tidak bermain alasan untuk mengelakkan diri dari aktiviti dakwah.
– Bertolak ansur dalam mengendali gerak kerja sesama para pendakwah.
– Menghormati para pendakwah terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan, kelamahan kerana sekurang-kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan ini.
– Sentiasa mengadakan muhasabah terhadap apa jua tindakan. Merasakan diri adalah lemah dan kerdil dan serba kekurangan justeru cuba untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

2. Istiqomah
Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan.

Apabila Abu Suffian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw: “katakanlah kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain darimu. Sabda Rasulullah saw:” katakanlah aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqomahlah”.

Dalam Hadis Nabi yang lain:
Maksudnya: “Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyengutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan”

3. Percaya dengan pertolongan dan janji dari Allah.
Seseorang yang menceburkan dirinya dengan perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjinya di dunia dan akhirat, ini hendaklah dengan adanya sifat taqwa, mengerjakan perintah dan menjauhi laranganNya, serta tidak mundur walau sedikitpun dalam arus medan perjuangan.

Dalam sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan orang-orang yang bersama-sama dengan baginda melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada satupun wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar menandakan kemenangan Islam, namun siapa menyangka bahawa akhirnya Rasulullah saw berjaya juga membuka kota Makkah dengan jayanya begitu juga nur Islam berjaya melepasi tembok sempadan geografi dan menembusi kota-kota Rom dan Parsi, sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka sebelumnya.

4. Ukhwah (persaudaraan)

Para pendakwah di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah saw menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar.

Antara kegiatan yang dpat menjalinkan hubungan persaudaraan adalah dengan adanya usrah yang dapat mengeratkan persaudaraan kerana perkataan usrah sendiri membawa maksud keluarga yang tujuan utamanya adalah untuk menyelesaikan masalah secara kekeluargaan. Selain itu program-program secara amal ijtimaie seperti gotong royong, kerja-kerja kebajikan, perhimpunan (liqo’ Fiqri) semuanya adalah program berbentuk ukhwah yang dapat memandu ikatan ukhwah yang lebih erat.

5. Tidak leka dengan pencapaian yang ada.
Dalam menghadapi tentangan dari musuh-musuh Islam, kadangkala para pendakwah mampu untuk berada dalam situasi yang menyenangkan dan merasai sedikit kejayaan . Namun kesemua itu tidak dapat kita banggakan kerana kadangkala pencapaian itu bersifat sementara. Lihatlah sirah bagaimana dalam peperangan Uhud pada mulanya Islam berjaya mencapai kemenangan awal, namun atas kealpaan dan kelekaan akhirnya tentera Islam dikalahkan oleh puak-puak musuh.

Kejayaan dan kemenangan yang diukir haruslah diiringi dengan kesyukuran dan sentiasa bermuahasabah adakah kemenangan ini kemenangan yang hak ataupun pencapaian ini sekadar istidraj (kemurkaan) Allah.

6. Menunaikan janji dan beriltizam dengannya.
Dalam hal ini Allah swt mengingatkan kita dalam FirmanNya:

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji, dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan”

(An Nahl: 91)

Akhlak yang baik dikalangan para pendakwah adalah sentiasa menunaikan janji samaada kepada kawan ataupun kepada musuh-musuh. Tidak menunaikan janji akan mengakibatkan hilangnya thiqah (kepercayaan) orang lain kepada diri kita.

7. Tidak melampau.
Allah swt melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah silmiyyah.

Sikap melampau akan mengurangkan kawan, meramaikan musuh, melambatkan kemenangan, serta mengurangkan keindahan Islam yang cuba dibawa. Sabda Nabi saw:

“Permudahkan (segala urusan), jangan dipersulitkan, ajaklah dengan baik dan janganlah menyebabkan orang menjauh”.

(H.R. Bukhari)

Sikap melampau seringkali berlaku kadangkala dalam urusan yang remeh (furu’) dan inilah yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan gerakan Islam.

No comments:

Post a Comment