Wednesday, April 14, 2010

Dakwah & Tuntutannya (1)

PENGERTIAN DAKWAH

Dakwah secara lughah yang berasal dari Bahasa Arab, yang bermaksud seruan, panggilan, undangan. Secara istilah, kata dakwah beerti menyeru atau mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menuruti petunjuk, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah swt dan Rasulnya saw.

Syeikh Ali Mahfuz – murid Syeikh Muhammad Abduh memberi batasan dakwah sebagai:-

“membangkitkan kesedaran manusia di atas kebaikan dan bimbingan, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar, supaya mereka beroleh keberuntungan kebahagiaan di dunia dan akhirat”

Dakwah adalah merupakan sunnah para Nabi a.s. .Mereka menyeru manusia kepada subul-as-Salam (jalan kebahagiaan), menunjukkan manusia kepada jalan yang lurus (sirat-al-Mustaqim), sehingga manusia menerima seruan Allah dan Rasul-Nya. Dakwah Islamiyah berawal dari hati yang sedar bahwa inilah jalan kita, yaitu untuk menyeru manusia kepada Allah sehingga mereka mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW.

Yang menjadi pemisah antara dakwah Islamiyah dengan jalan lain adalah petunjuk Allah yang disampaikan melalui wahyu dan jalan (contoh) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Musuh kita yang sebenarnya adalah syaitan dan konco-konconya yang menjelma melalui al-hawa’ (hawa nafsu) yang ada di dalam diri kita serta yang lebih nyata lagi adalah dalam bentuk jahiliyah yang zahir. Jahiliyah yang sekecil-kecilnya dari dosa-dosa yang berupa keingkaran hingga kepada al-kabair (dosa-dosa besar), bid’ah-bid’ah yang menyesatkan, nifaq (kemunafikan), serta kekufuran kepada Allah. Jahiliyah inilah yang seterusnya lahir dan menjelma di dalam bentuk keingkaran kepada Allah baik di dalam bentuk undang-undang, negara, masyarakat, dan segala bentuk sistem yang bukan berasaskan Islam.

Dakwah bukanlah semata-mata penentangan terhadap satu golongan, atau parti, ataupun individu,dan sebagainya. Namun merupakan pertarungan yang telah lama ada, yaitu semenjak penciptaan Adam a.s. dan keengganan Iblis untuk mematuhi perintah Allah agar sujud kepada Adam. Pertarungan di dalam dakwah adalah pertarungan antara yang haq dengan yang batil. Inilah pertarungan para Anbiya a.s. semenjak nabi Adam hingga Rasulullah saw. Inilah dia hakikat dakwah yang perlu kita dukung.

HUKUM BERDAKWAH
Hukum berdakwah adalah wajib dan kewajipan ini tertaklif pada setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah swt yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam.

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah.

Firman Allah swt:-

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah swt, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri” (Al Fushilat : 33)

Menyerukan manusia kepada Allah swt menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah saw:

“Jika Allah swt memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari” (H.R. At Tabrani)

Begitu juga sabda Nabi saw yang bermaksud:

“Orang yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berkeliling di muka bumi dengan menasihati orang lain” (H.R. At Thahawi)

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’rif (memperkenalkan) yang mendahului marhalah takwin (pembentukan) dan marhalah tanfiz (pelaksanaan).

TUJUAN DAKWAH
1. Mengubah pandangan hidup. Di dalam surah Al Anfal ada menyebutkan tentang tujuan dakwah adalah menyedarkan manusia tentang kehidupan yang sebenarnya. Hidup bukanlah makan, minum dan tidur sahaja.
2. Mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya. Ini diterangkan oleh Allah swt dalam Surah Ibrahim dalam ayat ke-1.
3. Mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar. Banyak ayat-ayat Qur’an yang boleh digali menerangkan tentang program amar ma’ruf dan nahi mungkar ini.

MAUDHU’ DAKWAH
Secara umumnya, amudhu’ dakwah ialah ajaran Islam kerana ia merupakan risalah yang dibawa oleh para rasul dan satu-satunya agama yang diredhai Allah. Di antara kandungan dakwah yang perlu diketengahkan kepada masyarakat umum adalah:-

Asas-asas ajaran Islam yang mencakupi persoalan Iman, Islam dan Ihsan.
a) Persoalan iman (aqidah) hendaklah diperjelaskan dalam lingkungan al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih dengan mudah dan jauh daripada penghuraian ahli kalam yang memeningkan kepala. Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun iman.

b) Persoalan Islam (fiqh) pula hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada perselisihan mazhab dengan menjelaskan dalil dan hikmah pensyariatan serta mengaitkannya dengan kehidupan. Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun Islam.

c) Persoalan Ihsan (akhlak) juga hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada pelampauan ahli tasawwuf dan penguraian yang tidak memberi manfaat oleh ahli falsafah. Di antara jenis-jenis ihsan yang perlu dihuraikan ialah:

- Ihsan dengan pengertina muraqabatullah

- Ihsan dengan pergertian berbakti kerana Allah.

- Ihsan kepada umat Islam dengn cara memperkukuhkan hubungan ukhwah fillah.

- Ihsan kepada semua makhluk dengan maksud bermuamalah dengan baik bersama mereka.

2 comments:

  1. Teruskan myumbang artikel yg baik seperti ini, teruskan usaha berkarya, terus istiqamah/

    ReplyDelete
  2. Bila hati berjuang kerana Allah, dugaan itu tempat bersinggah keperitan ditelan sebagai juadah, kejayaan dianggap mimpi indah..Semoga Allah beri kekuatan untuk teruskan perjuangan dan istiqomah di jalannya..Insyaallah...

    ReplyDelete